Showing posts with label articles. Show all posts
Showing posts with label articles. Show all posts

Sunday, 13 February 2011

0 Petikan Harian Metro Online | Bangunan mesra alam

Tarikh : 13.02.2011
Link ke artikel di Harian Metro


CANGGIH... Menara Taiwan mengikut lakaran artis.

PERKHIDMATAN Internet tanpa wayar menyeluruh, jalan raya hanya untuk kenderaan pengangkutan awam, tiada kereta, sampah atau pengeluaran karbon.

Ia bagaikan satu impian yang sukar dicapai pada masa depan tetapi tanpa disedari banyak pihak, situasi ideal itu sebenarnya sudah wujud.

Masdar City — terletak hanya beberapa kilometer dari Abu Dhabi — akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2020.
Mengikut pelan asal, bandar raya itu akan mengitar semula hampir semua air digunakan, selain kenderaan mengeluarkan asap diharamkan dan diganti dengan sistem pengangkutan berasaskan bateri.

Langkah sama turut dilaksanakan di bandar Dezhou, utara China, yang mencipta ‘lembah suria’ apabila semua lampu jalan dan kolam renangnya dipanaskan hasil haba daripada matahari.

Kira-kira 80 peratus daripada bangunan di situ juga memanfaatkan kuasa suria bagi memanaskan air.

Isu trafik pula memang satu daripada masalah terbesar di mana-mana bandar raya dalam dunia.

Di China, biasanya kerumitan itu cuba diatasi dengan penggunaan 50,000 basikal yang digunakan dalam skim perkongsian bersama.

Di Curitiba, Brazil, perkhidmatan bas Rapid Transit digunakan empat perlima populasi bandar itu melalui sistem prabayar.

Di Tallinn, Estonia, langkah kerajaan memberi akses Internet menyeluruh bagi membolehkan semua tempat awam, termasuk taman rekreasi, muzium, kafe dan kereta api, menjadi pusat sambungan ke dunia maya.

Bandar raya Minneapolis pula memiliki kawasan seluas hampir 95 kilometer persegi yang mempunyai sambungan Internet walaupun sesetengah penduduknya masih membayar bagi perkhidmatan berkenaan.

Kemudian, ada pula rancangan membina bangunan luar biasa oleh sekumpulan arkitek yang membayangkan sebuah dunia dipenuhi menara pokok, piramid terapung serta rumah yang dibina di atas air.

Sebahagian daripada reka bentuk paling menakjubkan turut dicadangkan dibina di Timur Jauh, dengan Jepun dan China bakal mendahului negara lain bagi mewujudkan sebuah model bandar bersih masa depan.

Pada masa sama, Britain juga berusaha ke arah itu. Bandar The Shard kini dibangunkan sebagai mercu tanda baru dan pusat pembangunan masa depan di South Bank.

BERKEMILAU... Masdar City di Abu Dhabi akan dibuka sepenuhnya pada 2020 dan tiada kereta dibenarkan di sini, manakala hampir semua airnya dikitar semula.

TOKYO MASA DEPAN... cadangan pembinaan Piramid Bandar Mega Shimizu belum menjadi kenyataan kerana bahan binaan ringan untuk diapungkan di Teluk Tokyo belum berjaya dicipta.



UNTUK PIALA DUNIA... Stadium al-Khor di Qatar akan menjadi lokasi pertandingan Piala Dunia 2022, menggunakan tenaga solar untuk menggerakkan penyaman udara bagi memastikan suhu berada di bawah 26° Celsius.

STADIUM HIJAU... Stadium Olimpik Sochi di Russia direka bentuk seperti cengkerang dengan dinding dan bumbung menggunakan bahan yang mampu ditembusi cahaya pada siang dan diterangi lampu ketika malam. Ia akan digunakan pada 2014.


MENARA TAIWAN... di Taichung, Taiwan, pelantar pemerhati berisi gas helium dibina di luar menara dan kerja membangunkannya akan dimulakan tahun depan. Bangunan diilhamkan daripada bentuk pokok ini menggunakan tenaga solar dan air hujan yang dirawat. Bakal menempatkan pejabat, restoran, muzium.



KAPSUL KONSEP... binaan Seascraper (atas) dibentuk untuk menahan arus kuat bagi mendapatkan sumber tenaga secara percuma, manakala Gyre (bawah) adalah menara akuatik yang mampu terapung di lautan. Ia boleh dijadikan pusat pelancongan atau stesen penyelidikan.

Tuesday, 25 January 2011

0 Petikan Kosmo Online | Kreatif olah bahan buangan

Tarikh : 25.01.2011
Laporan : Khairul Amri Hassan
Klik Link ke Artikel di Kosmo Online



SAMPAH bagi sesetengah individu mungkin menjadi khazanah bernilai andai dipandang dari sudut artistik. Bagi yang bijak memanipulasi bahan buangan seperti kertas dan plastik, tidak mustahil ia mampu memberikan pulangan berlipat kali ganda malah boleh dijadikan sumber pencarian utama terutama pelajar yang sentiasa berkehendakkan pelbagai hajat.
Penuntut tahun akhir jurusan Seramik di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd. Hanif Asri, 22, sering mendapat cetusan idea untuk menukarkan kotak-kotak minuman terbuang menjadi robot unik pelbagai bentuk dan corak.
Mula berjinak-jinak dengan dunia seni penciptaan patung kertas atau paper toys sejak mengikuti bidang diploma di universiti yang sama pada tahun 2007, kini jenama Pepatun Artwork yang dikeluarkan olehnya bersama lima orang rakan lain bertukar menjadi fenomena kegilaan remaja urban.
Tidak menduga hasil kreativiti pasukannya yang digelar Pepatun Rangers mendapat perhatian kumpulan-kumpulan muzik remaja seperti Hujan, Hanif mengakui kini permintaan yang diterima mencapai tahap di luar jangkaan.
“Kami disunting oleh kumpulan Hujan untuk berkolaborasi menghasilkan sebuah robot khas untuk album terbaru mereka, Lonely Soldier Boy,” singkapnya dalam pertemuan pertama sewaktu pameran Art Market di FSSR UiTM Shah Alam baru-baru ini. Patung kertas berwarna merah yang direka khas berkonsepkan samurai Jepun dan bersaiz 22cm tinggi itu diberi nama Lonely Soldier Bot dan mengambil masa hampir sebulan untuk melengkapkan keseluruhan ciptaan termasuk penghasilan acuan atau template.                   

Robot yang dilengkapi beg galas dan kasut yang boleh ditukar-tukar itu juga dijual pada harga pasaran RM90 dan boleh ditempah melalui pesanan dalam laman web rasmi kumpulannya, www.pepatunartwork.com.
Tambah Hanif, kertas khas iaitu orbit paper digunakan untuk penghasilan rekaan terbaru berikutan sasarannya menyuntik elemen elit dan memberi keteguhan dalam struktur asasnya.



“Mulanya kumpulan kami tiga tahun lalu dengan penghasilan patung-patung kain yang diberi nama Pepadolls. Kemudian, kami berkembang dengan berimaginasi untuk mengubah kotak minuman dan straw terbuang menjadi sesuatu yang bermanfaat dan diberikan satu kelas yang tersendiri bagi penggemarnya,” ucapnya ketika bercerita detik awal penubuhan kumpulannya bermodalkan duit sendiri.
Selain terlibat dengan lebih 30 pameran dan jualan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pepatun Artwork yang turut dianggotai Zainuri Ramlan, 22, Hafeezan Sulaiman, 22, Fazly Abu, 23, Ahmad Shafiq Aziz, 22, dan Mohammad Ridhwan Mohamad Nasir, 22, dari pelbagai fakulti itu juga berjaya melebarkan sayap ke Bumi Kenyalang dengan nama premis, Rare Boutique. Langkah itu dipergiatkan sejak setahun lalu semata-mata untuk memenuhi permintaan pelanggan di kepulauan Borneo termasuk dari Filipina dan Kalimantan.

Tempoh operasi yang singkat bagaimanapun telah berjaya melahirkan empat generasi keluaran patung kertas berbeza iaitu Strawbot yang dijual pada harga RM15, Strawbot Anatomic (RM38), Soldier Bot (RM90) dan Soldier Bot Metaphora yang bakal menemui peminatnya dalam tempoh terdekat.

Wednesday, 27 October 2010

1 Petikan Harian Metro | Wanita Paling Mudah Terkena

Laporan :  Afiq Hanif



DUNIA perkomputeran sememangnya memberi pengaruh yang cukup berkesan dalam kehidupan.
Apa tidaknya, kemungkinan satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja atau tempat belajar yang mana sebahagian besarnya berada di hadapan komputer peribadi (PC).

Tekanan kerja atau pembelajaran di hadapan PC jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti atau motivasi, seterusnya memberikan kesan positif dalam keputusan tertentu, tetapi jika sebaliknya, ia akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

Boleh dikatakan, tekanan disebabkan pekerjaan atau pembelajaran adalah interaksi kompleks antara persekitaran tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan serta mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan serta tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya terutama apabila perkakasan komputer tidak membantu, sebaliknya menambah tekanan pada anggota yang menambah kekusutan di minda.

Lesu, murung, gelisah dan hilang tumpuan adalah antara kesannya. Kadang kala ada di kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan sehingga mengganggu kehidupan peribadi.

Sepatutnya, teknologi berupaya membantu kehidupan manusia bukan saja sebagai platform yang mempercepatkan proses kerja namun pada sama mengurangkan tekanan terutama melalui faktor rekaan produk yang bersesuaian.

Oleh itu, timbul perkataan ergonomik yang berasal dari bahasa Yunani iaitu ‘erg’ yang membawa maksud bekerja dan 'nomoi' iaitu undang-undang alam bermakna persekitaran pekerjaan dipengaruhi keadaan alam sekitar.

Mengikut pakar ergonomik, Holly A Sweeney, persekitaran ergonomik mula dikesan pada awal abad ke-18 yang mana doktor melihat situasi pekerja memerlukan mereka untuk mempertahankan kedudukan tubuh badan tertentu bagi jangka masa lama sehingga mengalami masalah muskuloskeletal.
“Dalam 20 tahun terakhir ini, kajian jelas menunjukkan bentuk hubungan antara persekitaran pekerjaan tertentu dan kecederaan tekanan berulang (RSI),” katanya.

Menurutnya, terdapat dua unsur yang dikesan termasuk pekerjaan yang statik atau bekerja secara statik yang merujuk pada keadaan muskuloskeletal diperlukan untuk posisi tertentu walaupun ia memberi keselesaan kepada individu.
“Sebagai contoh, ketika kita duduk dan bekerja di komputer, menjaga kepala kita dan menegakkan tubuh memerlukan jumlah pergerakan kecil bergantung pada kecekapan posisi tubuh kita yang mengadaptasinya,” katanya.

Tambahnya, tekanan merujuk pada jumlah ketegangan otot yang kita hasilkan. Misalnya, menggerakkan kepala ke depan atau belakang dari kedudukan tertentu yang membuatkan otot bekerja di leher sehingga meningkatkan kekuatan disebabkan penambahan ketegangan otot diperlukan untuk menyokong kepala anda pada kedudukan condong.

“Sehingga kini, pakar ergonomik mengkaji kemampuan manusia dalam bekerja serta cuba untuk mentakrifkan postur yang meminimumkan kerja statik dan mengurangkan tekanan pada tubuh,” katanya.
Salah satu teknik yang dicadangkan Sweeney adalah Teknik Alexander yang membolehkan pengguna meletakkan prinsip ergonomik dalam amalan seharian seterusnya membantu mereka mengurangkan risiko RSI.

“Teknik Alexander bukanlah hal baru. Ia dikembangkan pada abad ke-20 iaitu kaedah pendidikan yang menunjukkan bagaimana mereka ‘menyalahgunakan’ tubuh mereka dan bagaimana kebiasaan seharian di tempat kerja membahayakan mereka,” katanya.

Beliau berkata, Teknik Alexander mengajar bagaimana untuk mengelakkan kebiasaan kerja statik yang berlebihan dan bagaimana mengurangkan jumlah kekuatan otot yang tidak perlu mereka terapkan untuk tubuh.

Berada di depan PC sememangnya mengakibatkan tekanan yang menggusarkan yang memerlukan manusia mengubah sedikit situasi biasa diamalkan kepada teknik lebih selamat dalam usaha memelihara kesihatan tubuh badan secara fizikal.

Ergonomik yang merujuk kepada hubungan antara pengguna dan persekitaran (biasanya perkakasan digunakan) membolehkan pekerja lebih produktif dan kreatif de�ngan ruang pejabat perlu direka bentuk secara ergonomik.

Justeru, terdapat unsur persekitaran seperti perabot, pencahayaan sempurna selain pilihan perkakasan perkomputeran yang membolehkan seseorang bekerja dengan baik perlu diberi penekanan.

Jika diabaikan semuanya, pengguna akan sering mengadu sakit kepala, sakit tengkuk, sakit belakang, kelesuan, mata letih, lenguh pergelangan tangan, lenguh siku ataupun sakit bahu yang boleh menurunkan kadar produktiviti.

Kalau ia diabaikan, pengguna akan mengalami RSI atau masalah tulang belakang terutama yang berada di depan komputer dikategorikan sebagai pengguna Terminal Paparan Video (VDT).

Kebanyakan VDT mengalami simptom seperti pedih mata kerana terlalu lama menghadap skrin komputer atau pencahayaan terlalu cerah atau tidak mencukupi.
Difahamkan, kelesuan dan sakit kepala yang berat menjejaskan daya konsentrasi mereka.

Dengan simptom berkenaan turut mengalami kesakitan anggota terutama bahagian bawah belakang, diikuti leher dan bahu kerana menjalankan tugas menggunakan komputer dan kerusi yang tidak direka secara ergonomik.

Malah, wanita dikatakan lebih cenderung menghadapi masalah ini kerana saiz badan kecil dan tidak serasi dengan perabot pejabat yang keba�nyakannya hasil rekaan di negara yang tidak menghasilkan reka bentuk sesuai bagi wanita negara ini.

Pengurus Ergonomik Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Dr Jalaluddin Dahalan ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kajian Gangguan Otot dan Tulang di Persidangan Keselamatan Pekerjaan ke-5 berkata kajian membabitkan 460 pekerja beberapa syarikat iaitu 248 wanita dan 221 lelaki menunjukkan beberapa hasil mengejutkan.

“Sebanyak 70 peratus pekerja mengadu pedih mata, 64 peratus kelesuan, 50 peratus menjadi pelupa, 47 peratus sakit kepala, 41 peratus terkena radang atau kerengsaan dan 36 peratus mengalami masalah konsentrasi.

“Sebanyak 61 peratus pekerja terbabit juga mengadu sakit bahagian bawah belakang, 52 peratus sakit leher dan 50 peratus sakit bahu,” katanya.

Hasilnya, kajian itu mengemukakan beberapa cadangan bagi menangani masalah ini termasuk menyarankan pengeluar perabot tempatan menyesuaikan reka bentuk perabot mengikut saiz badan rakyat negara ini, terutama wanita serta mengawal waktu kerja supaya tidak terlalu lama melakukan senaman ringan atau regangan dan pembahagian kerja yang seimbang.

Dalam keadaan perkomputeran di tempat kerja pula, NIOSH mencadangkan panduan seperti menempatkan komputer di bawah cahaya lampu yang membuatkan anda tidak hanya menumpukan kepada satu kawasan saja iaitu skrin komputer.

Untuk penggunaan dalam tempoh masa panjang, ruang kerja sepatutnya tidak gelap kerana cahaya daripada monitor boleh mempengaruhi kesihatan.

Letakkan komputer sejauh mungkin dari muka untuk mengu�rangkan radiasi dari skrin.

Sekiranya ruang kerja anda terlebih cahaya, mata anda akan mula berair. Cuba kurang�kan pembalikan cahaya dari permukaan skrin. Jika boleh, cahaya tidak terpancar terus ke mata anda.

Cahaya semula jadi lebih menenangkan dan menjimatkan tenaga, tetapi cuba elakkan daripada menerima terus cahaya matahari ke atas skrin ketika bekerja.

Tentukan kedudukan monitor komputer supaya bahagian atas skrin monitor berada pada atau di bawah paras mata anda.

Letakkan pula tetikus komputer dekat dengan papan kekunci untuk memastikan anda tidak perlu mencapai dengan meng�gunakan keseluruhan lengan daripada badan ketika berada pada keadaan duduk. Jangan lupa untuk memastikan jarak yang bersesuaian dengan kedudukan monitor komputer.

Hadkan masa menghadap komputer bagi memastikan anda berehat seketika untuk melakukan regangan atau senaman ringan.

Antara senaman yang digalakkan selepas penat mengadap monitor untuk tempoh lama ialah:

1. Membuat genggaman tangan yang kuat dan gerakkan dalam 10 bulatan ke dalam dan 10 bulatan ke luar.

2. Letakkan permukaan tangan anda bersama dan ramas dalam 10 saat. Ulangi langkah ini dengan unjurkan jari ke bawah dan ramas untuk 10 saat berikutnya.

3. Kembangkan jari anda dan kemudian kuncupkan semula.

4. Berdiri dan peluk badan de�ngan tangan, kemudian pusing ke kiri dan ke kanan.�
Dengan adanya panduan ini, perhatikan semula tempat peng�gunaan komputer di pejabat anda dan buat perubahan yang sesuai.

5. Ukuran ergonomik bagi ketinggian perabot meja kerja hendaklah antara 650 hingga 750 milimeter (mm) dari aras lantai manakala ketinggian papan kekunci komputer pula lebih rendah iaitu kira-kira 570 hingga 670 mm.

6. Jika papan kekunci diletakkan atas meja, pasang alat penyokong tangan untuk memastikan tangan separas dengan papan berkenaan supaya dapat mengurangkan ketegangan pada jari, tangan dan bahu.

7. Komputer diletak membelakangi cahaya matahari dan dijauhkan daripada pancaran cahaya lampu kerana kesan silau boleh memedihkan mata.

8. Pastikan juga kerusi yang dibeli adalah kerusi untuk bekerja, bukan kerusi untuk kegunaan lain. Oleh itu, carilah kerusi jenis berpusing supaya ia turut berpusing apabila anda memusingkan badan, misalnya untuk menjawab panggilan telefon atau mencapai sesuatu di tepi dan belakang meja.

9. Seelok-eloknya pilih kerusi yang berkusyen supaya punggung tidak berasa kebas apabila terpaksa duduk lama. Jika kerusi berpelapik kusyen yang terlalu lembut akan menenggelamkan punggung dan membuat kedudukan ketinggian antara meja kerja dan kerusi kerja tidak sesuai.

Sunday, 15 August 2010

0 Petikan Harian Metro : Harum nama negara

Tarikh : 08/08/2010
Klik link ke artikel di Harian Metro


SASARAN tiga sekawan ini ialah menebus kekalahan tahun lalu. Disebabkan itu juga mereka bekerja keras sejak awal tahun ini bagi memastikan dapat menggenggam kejayaan dalam pertandingan pereka muda, Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan di Taiwan, baru-baru ini.
pix_middle

Mereka yang belajar di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang berjaya melalui ciptaan 'Nail Plunger' iaitu sejenis alat mencabut paku.

Mohammed Jeffri atau lebih mesra dipanggil Jeffri berkata, pada mulanya wujud sedikit kegusaran dengan ciptaan mereka kerana kurang pengetahuan.


"Kami bermula dengan idea mencipta sejenis alat mencabut paku apabila penggunaan tukul kuku kambing memerlukan kekuatan tinggi. Idea awal untuk membina alat mencabut paku ini menggunakan model asas 'staple gun', namun pengiraan daya diperlukan tidak mencukupi untuk mencabut paku.

"Pengolahan idea bersama rakan menemui jalan buntu sehingga guru pembimbing kami, Md Nasser Samsudin membantu," katanya.

Hasil kerjasama itu mereka membuat beberapa lakaran baru menggunakan perisian AutoCad yang menunjukkan pembinaan sebenar model yang bakal dibina menggunakan teknologi tiga dimensi (3D).
Mohammad Ariff Syafiq atau Syafiq berkata, beberapa cubaan awal mereka gagal namun dengan usaha berterusan selain bantuan guru, mereka mendapati penggunaan pistol gam (glue gun) boleh mendapatkan daya diperlukan untuk mencabut paku.

"Dengan menggunakan pistol gam, pencabut paku boleh menarik paku dengan hanya menggunakan kekuatan minimum. Selepas itu Jeffri mula melukis pelan baru untuk pembuatan alat ini, seterusnya dibina dengan bantuan guru kami," katanya.

Syafiq yang bertindak sebagai pengurus pembinaan menyediakan semua barangan diperlukan selain memberi sokongan kepada rakan pasukan.

Mohammad Ridwan dengan bantuan guru pembimbing lebih banyak membantu ketua pasukan, Jeffri untuk membina 'Nail Plunger'.

Katanya, permulaan untuk membina alat mencabut paku itu mencabar kerana model 3D yang dicipta rumit.

"Walaupun hasilnya nampak senang, pembinaan awal adalah susah memandangkan kami hanya berbekalkan reka bentuk model 3D," katanya.

Menurutnya, pada permulaan mereka menggunakan penutup suis lama yang diperbuat daripada besi sebagai kotak untuk menarik paku.

Selepas beberapa cubaan, mereka mendapati kotak perlu lebih tinggi untuk menarik paku lebih panjang yang digunakan untuk bangunan industri.

"Akhirnya kami menggunakan kiub besi yang dipotong mengikut saiz sesuai dengan panjang paku di dalam negara," katanya.

Menurutnya, tukul kuku kambing dibina dengan material besi keras bagi memastikan ketahanannya ketika menarik paku.

"Kombinasi pistol gam, kuku kambing dan besi kiub yang mudah akhirnya membawa kami ke peringkat kebangsaan, seterusnya ke Taiwan," katanya.

Nail Plunger adalah alat pencabut paku yang dihasilkan guru dan tiga pelajar berkenaan berjaya mengharumkan nama negara apabila pasukan reka cipta mereka itu muncul pemenang utama anugerah pingat emas Pereka Muda Asia pada AYEE 2010 di Southern Taiwan University di Tainan, Taiwan pada 10 hingga 11 Julai lalu.

Hasil kemenangan itu Jeffri, Syafiq, Ridwan dan guru pembimbing mereka Md Nasser diiktiraf oleh Taiwan serta dianugerahkan pemenang gelaran Anugerah Khas Taiwan kategori antarabangsa.

Penyertaan mereka di Taiwan bermula selepas meraih kemenangan pada peringkat Kejohanan Antara Teknik Pulau Pinang pada 29 April lalu di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Batu Lanchang, Pulau Pinang.

Mereka kemudian muncul pemenang anugerah pingat Perak Pereka Muda Asia di Asian Young Inventions Exhibition (AYIE) 2010, International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX 2010) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 hingga 16 Mei.

Rentetan kejayaan itu, SMT Tunku Abdul Rahman Putra dijemput oleh kerajaan Taiwan untuk bertanding di Taiwan.

Kejayaan cemerlang itu diperoleh berdasarkan kreativiti pelajar menggunakan apa dipelajari di sekolah dan memanupulasi keupayaan alatan dalam menghasilkan 'Nail Plunger' yang mempunyai kekuatan setanding dengan alatan sedia ada di pasaran.

Projek itu dihasil menggunakan bahan daripada logam seperti keluli lembut kerana ia lebih ringan, kuat dan mampu menahan tekanan serta lebih mesra pengguna, selamat berbanding dengan alatan sedia ada.

Ciptaan pelajar berkenaan juga menjadi lebih istimewa apabila paku ditarik keluar itu boleh diguna semula kerana tidak bengkok atau patah. Ia juga boleh digunakan pada pelbagai sudut yang sukar dicapai oleh alatan penarik paku sedia ada serta mempunyai fungsi mengapit.


>PROFIL
NAMA: Mohammed Jeffri Jamaluddin
UMUR: 17 tahun
LAHIR: Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang
HOBI: Melukis lukisan teknikal dan seni
CITA-CITA: Jurutera jentera berat
PENCAPAIAN: Pingat Perak Pereka Muda Asia di Asian Young Invention Exhibition (AYIE) 2010; Pingat Perak di International Invention, Innovation dan Technology Exhibition (ITEX '10), Pingat Emas di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan dan Anugerah Khas Taiwan di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan

>PROFIL
NAMA: Mohammad Ariff Syafiq Idrus
UMUR: 17 tahun
LAHIR: Negeri Sembilan
PENDIDIKAN: Tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang
HOBI: Bersukan, bermain hoki dan bola sepak
CITA-CITA: Arkitek
PENCAPAIAN: Pingat Perak Pereka Muda Asia di Asian Young Invention Exhibition (AYIE) 2010; Pingat Perak di International Invention, Innovation dan Technology Exhibition (ITEX '10), Pingat Emas di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan dan Anugerah Khas Taiwan di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan

>PROFIL
NAMA: Mohammad Ridwan Zulamran
UMUR: 17 tahun
LAHIR: Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang
HOBI: Melukis, membaca dan bersukan
CITA-CITA: Jurutera
PENCAPAIAN: Pingat Perak Pereka Muda Asia di Asian Young Invention Exhibition (AYIE) 2010; Pingat Perak di International Invention, Innovation dan Technology Exhibition (ITEX '10), Pingat Emas di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan dan Anugerah Khas Taiwan di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan

Saturday, 14 August 2010

0 Petikan Harian Metro : Cari Pereka Berinovasi


Tarikh : 14/08/2010

Pautan: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cariperekaberinovasi/Article


PETALING JAYA: Dalam usaha mencari pereka cipta inovasi terbaik dari peringkat akar umbi di kalangan rakyat Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Sirim Berhad (Sirim) dan Proton Holdings Berhad (Proton) bekerjasama mengadakan program realiti televisyen terbaru berasaskan pertandingan reka cipta.

Program yang dinamakan Idea: Malaysian Inventors Challenge yang bakal disiarkan menerusi saluran TV3 juga dihasilkan bagi menjana minat rakyat terutama generasi muda untuk melahirkan masyarakat kreativiti dan berinovasi.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, berkata pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia secara individu atau berkumpulan yang bukan profesional namun mempunyai inovasi yang mampu dikomersilkan di peringkat tempatan mahupun pasaran antarabangsa.


“Kesemua mereka yang ingin menyertai program ini perlu melalui proses saringan dan sesiapa yang tersenarai dalam 24 peserta terakhir akan diberikan dana sebanyak RM2,000 supaya idea mereka dapat dipersembahkan sebagai satu prototaip kepada panel.


“Manakala pemenang utama daripada empat peserta akhir akan membawa pulang hadiah RM30,000. Bagaimanapun, 24 yang berjaya memasuki program ini juga akan dibantu untuk mengembangkan idea dan dibiayai supaya hasil cipta mereka didaftarkan sebagai harta intelek,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program berkenaan, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar; Pengerusi Proton, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh; Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir; Pengarah Urusan Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaludin; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Yahaya Ahmad.


Fadillah berkata, 24 peserta berkenaan juga boleh memohon geran kepada Mosti sekiranya berpotensi dan hasil reka cipta akan dinilai mengikut kriteria yang ditetapkan, jika berjaya mereka diberikan sokongan dana dan dibantu melalui jaringan perniagaan.


Program tajaan Proton yang mengandungi 10 episod itu akan disiarkan di TV3 pada setiap Sabtu jam 7 malam selama 30 minit mulai 25 September hingga 27 November ini.


Sesi saringan program yang dihoskan oleh personaliti, Dephne Iking dan Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaled itu akan dimulakan pada 25 September depan di Hotel MS Garden, Kuantan diikuti 2 Oktober di Hotel Grand Borneo, Kota Kinabalu, 9 Oktober di Sirim, Shah Alam dan 16 Oktober di Kuching.


Mereka yang berminat hanya perlu membawa model atau prototaip yang berfungsi hasil inovasi atau rekaan sendiri ke mana-mana sesi saringan, ataupun mendaftar terlebih dulu di laman sesawang www.1Idea.com.my.


Dalam majlis itu, Proton dan Sirim turut bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) bagi penganjuran program berkenaan.


Dalam pada itu, Fadillah berkata, sehingga Mei 2010, pihaknya sudah meluluskan dana sebanyak RM2.8 bilion bagi pelaksanaan 4,435 projek di bawah dana-dana penyelidikan, pembangunan dan pengkormesilan Mosti.


Daripada jumlah itu, sebanyak 1,903 projek sudah siap dengan 991 harta intelek didaftarkan. Manakala, 15.4 peratus daripada projek yang sudah siap itu berjaya dikomersilkan dengan hasil penjualan bernilai RM3.2 bilion.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms