Saturday 14 August 2010

Home » , » Petikan Harian Metro : Cari Pereka Berinovasi

0 Petikan Harian Metro : Cari Pereka Berinovasi


Tarikh : 14/08/2010

Pautan: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cariperekaberinovasi/Article


PETALING JAYA: Dalam usaha mencari pereka cipta inovasi terbaik dari peringkat akar umbi di kalangan rakyat Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Sirim Berhad (Sirim) dan Proton Holdings Berhad (Proton) bekerjasama mengadakan program realiti televisyen terbaru berasaskan pertandingan reka cipta.

Program yang dinamakan Idea: Malaysian Inventors Challenge yang bakal disiarkan menerusi saluran TV3 juga dihasilkan bagi menjana minat rakyat terutama generasi muda untuk melahirkan masyarakat kreativiti dan berinovasi.


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, berkata pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia secara individu atau berkumpulan yang bukan profesional namun mempunyai inovasi yang mampu dikomersilkan di peringkat tempatan mahupun pasaran antarabangsa.


“Kesemua mereka yang ingin menyertai program ini perlu melalui proses saringan dan sesiapa yang tersenarai dalam 24 peserta terakhir akan diberikan dana sebanyak RM2,000 supaya idea mereka dapat dipersembahkan sebagai satu prototaip kepada panel.


“Manakala pemenang utama daripada empat peserta akhir akan membawa pulang hadiah RM30,000. Bagaimanapun, 24 yang berjaya memasuki program ini juga akan dibantu untuk mengembangkan idea dan dibiayai supaya hasil cipta mereka didaftarkan sebagai harta intelek,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program berkenaan, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar; Pengerusi Proton, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh; Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir; Pengarah Urusan Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaludin; Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Yahaya Ahmad.


Fadillah berkata, 24 peserta berkenaan juga boleh memohon geran kepada Mosti sekiranya berpotensi dan hasil reka cipta akan dinilai mengikut kriteria yang ditetapkan, jika berjaya mereka diberikan sokongan dana dan dibantu melalui jaringan perniagaan.


Program tajaan Proton yang mengandungi 10 episod itu akan disiarkan di TV3 pada setiap Sabtu jam 7 malam selama 30 minit mulai 25 September hingga 27 November ini.


Sesi saringan program yang dihoskan oleh personaliti, Dephne Iking dan Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaled itu akan dimulakan pada 25 September depan di Hotel MS Garden, Kuantan diikuti 2 Oktober di Hotel Grand Borneo, Kota Kinabalu, 9 Oktober di Sirim, Shah Alam dan 16 Oktober di Kuching.


Mereka yang berminat hanya perlu membawa model atau prototaip yang berfungsi hasil inovasi atau rekaan sendiri ke mana-mana sesi saringan, ataupun mendaftar terlebih dulu di laman sesawang www.1Idea.com.my.


Dalam majlis itu, Proton dan Sirim turut bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) bagi penganjuran program berkenaan.


Dalam pada itu, Fadillah berkata, sehingga Mei 2010, pihaknya sudah meluluskan dana sebanyak RM2.8 bilion bagi pelaksanaan 4,435 projek di bawah dana-dana penyelidikan, pembangunan dan pengkormesilan Mosti.


Daripada jumlah itu, sebanyak 1,903 projek sudah siap dengan 991 harta intelek didaftarkan. Manakala, 15.4 peratus daripada projek yang sudah siap itu berjaya dikomersilkan dengan hasil penjualan bernilai RM3.2 bilion.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms