Sunday 15 August 2010

Home » , » Petikan Harian Metro : Harum nama negara

0 Petikan Harian Metro : Harum nama negara

Tarikh : 08/08/2010
Klik link ke artikel di Harian Metro


SASARAN tiga sekawan ini ialah menebus kekalahan tahun lalu. Disebabkan itu juga mereka bekerja keras sejak awal tahun ini bagi memastikan dapat menggenggam kejayaan dalam pertandingan pereka muda, Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan di Taiwan, baru-baru ini.
pix_middle

Mereka yang belajar di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang berjaya melalui ciptaan 'Nail Plunger' iaitu sejenis alat mencabut paku.

Mohammed Jeffri atau lebih mesra dipanggil Jeffri berkata, pada mulanya wujud sedikit kegusaran dengan ciptaan mereka kerana kurang pengetahuan.


"Kami bermula dengan idea mencipta sejenis alat mencabut paku apabila penggunaan tukul kuku kambing memerlukan kekuatan tinggi. Idea awal untuk membina alat mencabut paku ini menggunakan model asas 'staple gun', namun pengiraan daya diperlukan tidak mencukupi untuk mencabut paku.

"Pengolahan idea bersama rakan menemui jalan buntu sehingga guru pembimbing kami, Md Nasser Samsudin membantu," katanya.

Hasil kerjasama itu mereka membuat beberapa lakaran baru menggunakan perisian AutoCad yang menunjukkan pembinaan sebenar model yang bakal dibina menggunakan teknologi tiga dimensi (3D).
Mohammad Ariff Syafiq atau Syafiq berkata, beberapa cubaan awal mereka gagal namun dengan usaha berterusan selain bantuan guru, mereka mendapati penggunaan pistol gam (glue gun) boleh mendapatkan daya diperlukan untuk mencabut paku.

"Dengan menggunakan pistol gam, pencabut paku boleh menarik paku dengan hanya menggunakan kekuatan minimum. Selepas itu Jeffri mula melukis pelan baru untuk pembuatan alat ini, seterusnya dibina dengan bantuan guru kami," katanya.

Syafiq yang bertindak sebagai pengurus pembinaan menyediakan semua barangan diperlukan selain memberi sokongan kepada rakan pasukan.

Mohammad Ridwan dengan bantuan guru pembimbing lebih banyak membantu ketua pasukan, Jeffri untuk membina 'Nail Plunger'.

Katanya, permulaan untuk membina alat mencabut paku itu mencabar kerana model 3D yang dicipta rumit.

"Walaupun hasilnya nampak senang, pembinaan awal adalah susah memandangkan kami hanya berbekalkan reka bentuk model 3D," katanya.

Menurutnya, pada permulaan mereka menggunakan penutup suis lama yang diperbuat daripada besi sebagai kotak untuk menarik paku.

Selepas beberapa cubaan, mereka mendapati kotak perlu lebih tinggi untuk menarik paku lebih panjang yang digunakan untuk bangunan industri.

"Akhirnya kami menggunakan kiub besi yang dipotong mengikut saiz sesuai dengan panjang paku di dalam negara," katanya.

Menurutnya, tukul kuku kambing dibina dengan material besi keras bagi memastikan ketahanannya ketika menarik paku.

"Kombinasi pistol gam, kuku kambing dan besi kiub yang mudah akhirnya membawa kami ke peringkat kebangsaan, seterusnya ke Taiwan," katanya.

Nail Plunger adalah alat pencabut paku yang dihasilkan guru dan tiga pelajar berkenaan berjaya mengharumkan nama negara apabila pasukan reka cipta mereka itu muncul pemenang utama anugerah pingat emas Pereka Muda Asia pada AYEE 2010 di Southern Taiwan University di Tainan, Taiwan pada 10 hingga 11 Julai lalu.

Hasil kemenangan itu Jeffri, Syafiq, Ridwan dan guru pembimbing mereka Md Nasser diiktiraf oleh Taiwan serta dianugerahkan pemenang gelaran Anugerah Khas Taiwan kategori antarabangsa.

Penyertaan mereka di Taiwan bermula selepas meraih kemenangan pada peringkat Kejohanan Antara Teknik Pulau Pinang pada 29 April lalu di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Batu Lanchang, Pulau Pinang.

Mereka kemudian muncul pemenang anugerah pingat Perak Pereka Muda Asia di Asian Young Inventions Exhibition (AYIE) 2010, International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX 2010) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 hingga 16 Mei.

Rentetan kejayaan itu, SMT Tunku Abdul Rahman Putra dijemput oleh kerajaan Taiwan untuk bertanding di Taiwan.

Kejayaan cemerlang itu diperoleh berdasarkan kreativiti pelajar menggunakan apa dipelajari di sekolah dan memanupulasi keupayaan alatan dalam menghasilkan 'Nail Plunger' yang mempunyai kekuatan setanding dengan alatan sedia ada di pasaran.

Projek itu dihasil menggunakan bahan daripada logam seperti keluli lembut kerana ia lebih ringan, kuat dan mampu menahan tekanan serta lebih mesra pengguna, selamat berbanding dengan alatan sedia ada.

Ciptaan pelajar berkenaan juga menjadi lebih istimewa apabila paku ditarik keluar itu boleh diguna semula kerana tidak bengkok atau patah. Ia juga boleh digunakan pada pelbagai sudut yang sukar dicapai oleh alatan penarik paku sedia ada serta mempunyai fungsi mengapit.


>PROFIL
NAMA: Mohammed Jeffri Jamaluddin
UMUR: 17 tahun
LAHIR: Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang
HOBI: Melukis lukisan teknikal dan seni
CITA-CITA: Jurutera jentera berat
PENCAPAIAN: Pingat Perak Pereka Muda Asia di Asian Young Invention Exhibition (AYIE) 2010; Pingat Perak di International Invention, Innovation dan Technology Exhibition (ITEX '10), Pingat Emas di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan dan Anugerah Khas Taiwan di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan

>PROFIL
NAMA: Mohammad Ariff Syafiq Idrus
UMUR: 17 tahun
LAHIR: Negeri Sembilan
PENDIDIKAN: Tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang
HOBI: Bersukan, bermain hoki dan bola sepak
CITA-CITA: Arkitek
PENCAPAIAN: Pingat Perak Pereka Muda Asia di Asian Young Invention Exhibition (AYIE) 2010; Pingat Perak di International Invention, Innovation dan Technology Exhibition (ITEX '10), Pingat Emas di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan dan Anugerah Khas Taiwan di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan

>PROFIL
NAMA: Mohammad Ridwan Zulamran
UMUR: 17 tahun
LAHIR: Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Tingkatan lima di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tunku Abdul Rahman Putra, Pulau Pinang
HOBI: Melukis, membaca dan bersukan
CITA-CITA: Jurutera
PENCAPAIAN: Pingat Perak Pereka Muda Asia di Asian Young Invention Exhibition (AYIE) 2010; Pingat Perak di International Invention, Innovation dan Technology Exhibition (ITEX '10), Pingat Emas di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan dan Anugerah Khas Taiwan di Asian Young Inventions of Energy Exhibition (AYEE) 2010 Taiwan

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms